5 Fakta mengenai Skrub Muka yang Perlu Diketahui
Ramai antara kita yang menyangka skrub muka adalah tidak elok dilakukan. Kononnya boleh menipiskan dan merosakkan kulit muka. Ada pula yang kerap melakukannya dengan alasan mahu menanggalkan kulit mati. Pendapat-pendapat ini ada betul dan ada salahnya. Jadi, di dalam entri kali ini, Mya nak kongsikan beberapa fakta mengenai skrub muka sebagai panduan kecantikan pada masa akan datang.
Skrub muka membantu menaikkan seri wajah | Source : Google |
5 Fakta mengenai Skrub Muka
1. Skrub Muka adalah Harus dilakukan
Tujuan asal skrub muka adalah untuk menghilangkan sel kulit mati pada wajah kita. Semakin kita berusia, proses penggantian sel kulit kita akan menjadi semakin perlahan. Dengan melakukan skrub, kita boleh membuang sel kulit mati yang jika dibiarkan akan mengakibatkan liang pori tersumbat, minyak wajah berlebihan dan jerawat. Dengan skrub juga, akan memudahkan kulit menyerap kebaikan serum dan moisturizer.
2. Jangan skrub muka dengan kasar
Perlakuan skrub muka dengan kasar sebenarnya tidak membantu mengelakkan jerawat atau merawat wajah. Sebaliknya akan memburukkan lagi keadaan. Liang pori akan menjadi lebih besar dan minyak muka akan lebih banyak terhasil, mengakibatkan muka lebih mudah dinaiki jerawat.
3. Jangan skrub terlalu kerap
Sel kulit mati akan berganti pada setiap berselang 3 hari. Jadi, sebaiknya, lakukan skrub muka hanya satu atau dua kali sahaja dalam seminggu. Amatlah digalakkan untuk melakukan skrub di waktu pagi kerana menurut kajian pakar, sel kulit kita berganti semasa kita tidur di waktu malam.
4. Kenal pasti jenis kulit dan skrub yang sesuai
Bukan semua jenis skrub sesuai untuk jenis kulit kita. Kaji jenis kulit kita sama ada berminyak, normal (combo) atau kering. Jika tersalah pilih, muka kita akan menjadi lebih dan lebih sensitif. Bagi yang sedia berwajah sensitif, pilih skrub bebola halus. Ini bertujuan untuk mengelakkan kulit anda mengalami rengsa yang lebih teruk selepas skrub. Manakala, bagi yang berwajah berminyak, gunakan skrub yang mengandungi asid salisilik yang membantu mengawal penghasilan minyak pada wajah .
5. Skrub Muka vs Skrub Tubuh?
Yang terakhir, satu pesanan Mya yang nampak remeh tapi penting ialah jangan sesekali gunakan skrub badan di muka! Masih ramai yang ambil mudah kerana menganggap skrub muka dan skrub badan adalah dari fungsi yang sama. Ya, fungsinya mungkin sama, tetapi molekul skrub badan yang lebih kasar akan mengakibatkan kulit menjadi lebih sensitif apabila digunakan di muka.
Jadi, pilih skrub yang sesuai dengan kulit dan skrublah wajah dengan kadar bersederhana.
Takut nanti, niatnya lain, jadinya lain pula.
Comments
Post a Comment