Rawat anemia di rumah ketika mengandung

Anemia adalah satu masalah yang boleh dianggap biasa dalam kalangan wanita mengandung. Hampir 1 daripada 4 orang dari golongan wanita mengandung akan mengalami masalah ini. Ia dapat dikesan dengan ujian darah, di mana bacaan hemoglobin adalah kurang dari 11g/dl. Para ibu yang mengalami anemia ketika kehamilan juga biasanya akan dibahagikan kepada tiga golongan, iaitu risiko rendah, risiko sederhana dan risiko tinggi. Tapi, sebelum kita bincangkan kaedah dan cara untuk merawat anemia, jom kita ambil tahu punca berlakunya masalah ini dan info lain yang perlu kita tahu sebelum kita mahu merawat sendiri masalah anemia ini di rumah.




Anemia atau kurang darah merah yang elok dan baik untuk membawa dan membekalkan oksigen ke seluruh tubuh badan serta kepada bayi di dalam kandungan. Masalah ini berpunca dari kurangnya zat besi untuk menghasilkan lebih banyak sel darah merah demi menyokong tumbesaran kandungan di dalam badan kita. Akibatnya, kita akan mudah berasa penat, pening dan mudah merasa lelah. Namun begitu, walaupun masalah anemia ini dianggap antara perkara lazim dalam tempoh kehamilan, kita tidak boleh terlalu memandang enteng terhadapnya. Terdapat juga kes melibatkan kematian akibat anemia berisiko tinggi yang tidak dirawat segera. Kandungan dengan anemia berisiko tinggi juga mungkin akan mengakibatkan kelahiran pramatang.




Sebagai salah seorang dari ibu hamil yang berjaya menaikkan semula bacaan hemoglobin dalam darah setelah beberapa bulan menghadapi masalah anemia ini, aku nak kongsikan beberapa cara yang dah aku terima dari orang lain termasuklah melalui pembacaan. Ada beberapa kaedah yang aku guna pakai dan aku akan kongsikan juga hasil percubaan aku. Oh ya. Aku amat tekankan di sini bahawa tidak semua cara yang berkesan kepada aku akan berkesan kepada orang lain. Begitu juga sebaliknya. Kaedah ini sebenarnya boleh digunapakai oleh mereka yang hamil ataupun mereka yang sememangnya memiliki bacaan hemoglobin (HB) yang rendah walaupun tidak hamil.

Jangan 'skip' ubat

Sebaik sahaja aku mengesahkan kandungan di klinik swasta, aku terus amalkan pengambilan folic acid yang boleh aku dapatkan di Watson, Guardian atau farmasi. Asid Folik ni berfungsi sebagai suplemen untuk membekalkan vitamin B yang selalunya kita dapatkan dari makanan. Tapi, bila seseorang wanita tu hamil, vitamin yang datang secara semulajadi tu tak mencukupi. Maka, penghasilan darah merah pun menurun.

Bila bacaan aku mula menurun pada perjumpaan kedua dengan nurse, aku dibekalkan pulak dengan obimin dan ferrous fumarate (tablet zat besi) oleh pihak klinik sebagai booster untuk menaikkan semula bacaan. Bagi sesetengah yang lain, mungkin ada yang dibekalkan dengan ubatan lain mengikut kesesuaian badan. Walau apapun ubat yang diterima, jangan pernah skip dari makan ubat ini setiap hari. Cuba untuk kawal bacaan HB dari terus merendah.

Cuba untuk makan

Salah satu punca kenapa bacaan HB semakin rendah walaupun dah makan ubat adalah disebabkan badan tak menerima makanan dengan baik. Mungkin ada sesetengah ibu hamil yang langsung tidak menghadapi masalah morning sickness, jadi korang dapat kekalkan bacaan HB dengan terus menikmati makanan yang berkhasiat. Tetapi, bagi yang mengalami morning sickness macam aku, cuba cari satu makanan yang tekak dan perut korang boleh terima. Paling tidak pun, biskut kering pun jadilah. Jangan mengelak dari terima makanan.

Kurangkan kafein


Kopi dan teh adalah salah satu dari sumber kafein yang perlu dikurangkan pengambilannya sepanjang kehamilan. American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG) mencadangkan ibu hamil hanya dibenarkan mengambil kurang daripada 200 mg sumber kafein sehari demi mengelakkan masalah kurang penghantaran bekalan darah kepada bayi di dalam kandungan, selain boleh membantutkan tumbesarannya.

Makan buahan dan kurma

Buah-buahan seperti jambu batu, buah naga dan kurma adalah antara sumber yang baik dalam membantu menaikkan semula bacaan HB ketika kehamilan. Selain itu juga, ibu hamil digalakkan untuk memakan buah oren dan strawberi, selain mengamalkan pengambilan sayuran hijau seperti bayam dan sebagainya demi mendapatkan zat-zat diperlukan tubuh secara semulajadi. Tapi! Ini adalah pesanan khas buat ibu hamil yang berisiko kencing manis, jika ingin mengamalkan makan kurma, sehari cuma makan 1-2 biji sahaja. Jangan lebih.

Makan makanan tinggi kandungan zat besi


Antara makanan lain yang mengandungi zat besi adalah ikan, ayam, daging merah dan kerang. Namun begitu, sirloin steak mengandungi lebih banyak zat besi di dalamnya jika dibandingkan dengan ayam. Pengamalan makan kerang juga dibenarkan dalam kadar yang sederhana. Dalam bahasa mudahnya, kebanyakkan makanan yang berada dalam golongan protein memiliki kadar zat besi yang diperlukan tubuh. Gandum dan kekacang juga sebenarnya boleh membantu. Cuba ambil roti tinggi serat di waktu sarapan dan minum petang sebagai sokongan tambahan, selain makanan yang aku tulis awal point ni tadi.

Aku harap ada antara petua dan amalan yang aku kongsikan ini menjadi untuk korang. Kalaupun korang alami morning sickness atau tidak, pastikan korang minum banyak air. Kekal hidrat untuk kebaikan korang dan bayi dalam kandungan. Semoga bacaan HB korang akan kembali normal sebelum korang bersalin nanti. Jangan stress, okey? Enjoy saat-saat indah si kecil masih menendang dari dalam.

Comments

Popular posts from this blog

'The Best Gift' : Hadiah Rain buat isteri

Comelnya Nursing Room di iOi City Mall, Putrajaya

Experimentasi menyelerakan di The Buzz Cafe, Premiere Hotel, Klang