[e-Novel] Anak Angkat Mama Bab 25

"CUBA ABANG JUJUR je la. Abang sebenarnya ada hati dengan Nia, kan?" Dipandang Haqiem lama. Cuba memerangkap abangnya yang masih diam tanpa kata-kata.

Takkanlah semata disebabkan rasa bersalah dan rasa kasihan pada mama, menjadi punca mengapa dia bersungguh-sungguh mahu menghilangkan keruh di antara mereka berdua. Macam ada kisah yang masih dirungkaikan sepenuhnya. Yang lebih menimbulkan persoalan, gelang yang dipakai Nia tu. Apa maksud sebenar disebalik kewujudannya?

"Kau tahu kan yang abang belum terfikir pasal any kind of relationship selain daripada dengan orang yang di dalam keluarga kita?" Haqiem langsung tidak mengangkat kepala.

"Tapi, tengok jugalah abang pandang Nia sebagai apa." Hadi mengacau perlahan teh ais di dalam gelas dengan straw, berpura-pura tidak memerhati Haqiem dengan hujung mata. 

"Nak pandang sebagai apa lagi? Kau orang berdua adik abanglah." 

"Oh, really?" 

Nada suara Hadi berubah. Telefon bimbit yang terang bernyala bertukar tangan tanpa rela. Bulat mata Haqiem melihat gambar yang jelas mempamerkan dua bentuk tubuh yang langsung tidak sedar pergerakan mereka dirakam dari belakang. 

"How did you...?" Soalan Haqiem berjeda.

"Tempat jual air tu bukan jauh sangat pun. Sempatlah kita orang nampak gelang and senyum manis pasangan bahagia tu." 

"Bahagia ke?" Suara Haqiem yang kembali merendah pantas mengetuk gegendang telinganya. 

"Does she know?" Soalan Hadi hanya dijawab dengan gelengan.

Terasa mahu menepuk dahinya sendiri dengan reaksi abangnya sebegitu. Dia tahu apa yang bermain di fikiran abangnya itu. Takut perasaannya tidak mencapai frekuensi yang sama dengan hati Nia. Tapi, belum cuba belum tahu! 

"Bila nak bagitahu dia?" Bahunya dijungkitkan kecil. 

"Dah tu, nak buat diam je? Bukannya Nia tu jauh mana pun." Suara Hadi ikut merendah.

Haqiem masih diam tanpa sebarang kata yang mampu diluahkan. Dia bukan sengaja mahu mendiamkan perasaannya. Namun, dia sebenarnya masih mencari arah tuju perasaannya. Dia bukannya tidak pernah jatuh cinta. Tapi, perasaannya kali ini terasa berbeza. Terasa lebih mendalam dari sebelumnya. 

Kerana itulah, dia risau juga andai perasaannya tak berbalas. Apatah lagi andai nanti hubungan antara dia dan Nia berubah menjadi keruh kembali. Jadi, biarlah dia menyimpan dulu rahsia hatinya sementara ini. Tiba masanya nanti, semuanya pasti akan terluah jua!


"KAK NIA TAK RETILAH nak bergaya sakan ni." Syazwani yang masih tekun menilik barisan baju berwarna putih susu yang tergantung pada rak, tersenyum sendiri. 

Nia menala pandangannya ke seluruh penjuru butik. Entah macam mana dia boleh terlupa mengenai hal yang satu itu. Sudahnya, pengantin sendiri turun padang pilihkan baju pengapit. Tapi, antara semua kenalan Syazwani, kenapa dia? 

Dah berpuluh hujah dikeluarkan demi mahu mengelak dari memegang tugas yang satu itu. Biarlah dia menjadi wedding planner tak bertauliah dari sekali lagi perlu duduk di hadapan semua orang. Bahkan,  itu bukan hari istimewanya. 

"Kan abang Hadi dah cakap yang dia nak semua orang yang dia sayang ada sekali dengan dia atas pentas pelamin tu." Nia menelan liur dalam diam. Kau ingat koir ke nak naik pelamin ramai ramai?

"Nanti part photographer ambil gambar kawan diploma, Kak Nia naiklah." Syazwani menjeling. Dia buat ayat tak berapa cemerlang pulak. 

Juling mata Nia cuba memikirkan alasan yang terbaik bagi memangkah kata-kata bakal pengantin tu. Dia belum bersedia lagi untuk berhadapan dengan si pengapit lelaki yang sudah banyak kali cuba menghubunginya. Kalau telefon bolehlah dielak. Kalau dah berdepan, ada jugak drama murahan kat atas pentas pelamin tu nanti. 

Dia pun tak tahu mengapa dia cuba mengelak dari bertemu empat mata dengan Haqiem. Hendak dikatakan keadaan antara mereka masih dingin, segala sudah beransur pulih sejak pertemuan semula di Langkawi. Tetapi, ada rasa lain yang cuba dielakkan sekarang. Rasa aneh yang hanya muncul apabila Haqiem berada di dalam radius kilometer yang sama.

"Nope. I want you there too." Syazwani menghulurkan baju kurung moden putih susu dengan manik warna yang sama kepada Nia yang masih berpeluk tubuh.

Nia menarik nafas panjang. Susahnya nak mengatakan tidak kepada bakal pengantin yang seorang ni.

Klik gambar untuk kembali ke menu

Comments

Popular posts from this blog

Baiti Jannati bawa makna sebenar dalam nama

I'm officially graduated!

Bad Genius: filem wajib tonton