[e-Novel] Anak Angkat Mama Bab 23

HADI MEMPERLAHANKAN LANGKAHNYA agar dia dapat berjalan seiring dengan kawan baiknya yang tampak seperti berada dalam dunianya sendiri. Semasa makan tengah hari tadi juga begitu. Berbual tidak, apatah lagi bercakap. Hanya sepatah dua sahaja. Itupun sekadar menjawab soalan mama. Hendak dikatakan sakit, nampak elok saja. Hendak dikatakan bergaduh dengan abang, hubungan mereka nampak lebih baik daripada sebelumnya.

Bukanlah dia mahu menyibuk hal tepi kain Nia. Tapi, hatinya jadi tertanya-tanya. Akhirnya, Hadi kalah dengan perasaan curiga yang tidak mampu dibendung. Dibiarkan Syazwani yang sedang berbual dengan Lutfi dan Mak Timah melangkah terlebih dahulu. Dibawa diri ke sebelah Nia yang melabuhkan duduk di tepi bahagian luar restoran.

“Nia, aku tengok kau ni senyap je dari tadi. Ada apa-apa ke? Kalau ada masalah, jangan pendam seorang diri. Ceritalah dengan aku atau abang.”

Nia menggeleng. Takkanlah dia hendak beritahu Hadi yang dia berasa sedikit janggal sejak kemunculan Liyana tadi. Bayangkanlah sepanjang waktu makan tengah hari tadi, hampir sahaja dia menjadi patung cendana kerana tidak faham dengan isi perbincangan antara Puan Sri Azizah, Hadi, Haqiem dan Liyana. Hendak berborak dengan Syazwani yang duduk disebelahnya, gadis itu pun nampaknya lebih berminat hendak mendengar isi perbincangan yang benar-benar asing bagi Nia. Sudahnya, dia mengais nasi di dalam pinggan.

“Kau tak suka Liyana ada?”

Nia menayang wajah bingung. Soalan Hadi tidak kena langsung dengan apa yang dirasakannya ketika ini. Aku cuma rasa janggal. Tidaklah sampai tidak menyukai Liyana hanya kerana aku tak boleh masuk dengan perbincangan mereka tadi. Apa kau ingat ini permainan zaman kanak-kanak? Aku tak kenal dia, aku tak nak kawan dia. Kau ingat aku baru berumur enam tahun?

“Nothing like that. Kau jangan salah faham yang bukan-bukan.” Nia membetulkan duduknya yang terasa kurang selesa. Entah kerana kerusinya yang tidak rata, atau kerana soalan Hadi yang tiba-tiba.

“Manalah tahu, kut-kut kau cemburu abang rapat dengan Liyana tu.” Dikerling reaksi Nia dengan hujung mata. Hampir sahaja selipar nipis yang dipakai Nia mengena ke tubuhnya.

“Apa yang kau merepek ni?”

Ditahan suaranya daripada meninggi. Kenyataan yang keluar dari mulut Hadi hampir membuat dia terkedu seketika. Mujur dia pantas berfikir dan cukup faham dengan perangai Hadi yang tak akan pernah habis bergurau. Walaupun gurauan lelaki itu, ada masanya tidak kena dengan masa dan tempat. Direnung Hadi yang masih memandangnya dengan pandangan yang mencerlung.

“Aku bergurau je. Janganlah marah. Tapi, kalau betul pun, apa salahnya? Kita masih satu keluarga. The only difference is, aku kena panggil kau, ‘kakak ipar’.”

Nia menarik nafas panjang. Hadi yang sudah terlebih dahulu melarikan diri tidak dikejarnya.


SAYA TENGOK AWAK lebih ceria, lebih gembira, berbanding tempoh hari. Buah hati dah hilang merajuk ke?” Sempat Yana bertanya sementara langkah dia dan Haqiem beriringan menuju ke pintu keluar. Berkali dia menghalang Haqiem dari menghantar dia sebegitu. Dia sedar dia hanya seorang pekerja. Akhirnya, dia bertanya kosong, demi mengelak janggal yang mula terasa.

“As for now, saya tahu yang dia dah maafkan saya.” Perlahan suara Haqiem menyampaikan. Seolah-oleh mahu merahsiakan isi perbualan mereka dari pengetahuan seseorang. Namun, melihat senyuman yang terukir manis di bibir Haqiem membuatkan dia pasti untuk meneruskan dengan soalan seterusnya.

“Bila agak-agaknya saya dapat makan nasi kenduri? Agak-agak saya dijemput tak?” Canda Yana merubah riak wajah Haqiem yang tadinya ceria. Ada rahsia dalam mendung riak wajah dan suara Haqiem yang kian merendah.

“Hubungan kami belum sampai sejauh itu. Mungkin saya sahaja yang rasa apa yang saya rasa sekarang.”

“Mana awak tahu? Selagi awak tak luahkan, perasaan dua-dua pihak akan kekal rahsia.” Liyana menduga-duga. Dia bukanlah pakar. Tetapi, bab perasaan sebegini, jawapannya hanya dua. Pendam atau luah. Tapi, akibatnya, tiada siapa yang tahu.

“Saya tak pandai dalam bab macam ni. Lagipun, saya takut hubungan baik antara kami berdua akan terjejas. Saya sudah cukup bersyukur dengan keadaan macam ni.” Jawapan Haqiem kedengaran lemah. Dia cuma tidak mahu keadaan menjadi lebih teruk. Kerana, ia akan melibatkan semua pihak yang berada di sekeliling mereka.

“Mudah. Learn to know her. Her likes and dislikes. Pendam sahaja tak akan mengubah apa-apa.”

“Lepas tu, saya berubah ikut apa yang dia suka dan tinggalkan apa yang dia tak suka?” Kata-kata Liyana membuatkan Haqiem sedikit terkejut. 

“Setiap yang dia suka dan tak suka mesti ada kelebihan dan kekurangannya. Tak perlu pun awak berubah sepenuhnya. Awak dah buka hati awak untuk dia, bermakna awak dah terima sebahagian daripada apa yang awak tahu ada pada dia. Sebab tu, saya sebut ‘belajar’. Bukan membuta tuli je ikut cara dia. In easier words, fahami dan terima kelebihan dan kekurangan dia. Next, dia sendiri akan terima kelebihan dan kekurangan awak.” Yana menahan senyum. Haqiem yang selama ini dilihatnya selalu berkarisma, tiba-tiba nampak lemah dan kebuntuan di depan cinta. 

“Awak pernah terfikir tak nak tukar profession sebagai doktor cinta?” Yana ketawa kuat tidak tertahan. Hadi dan Nia yang sedang berbual di hujung restoran sebelah sana pun menoleh dibuatnya.

“Saya bukan pakar. Saya cuma apa yang saya rasa sebagai seorang perempuan. My last boyfriend left me because I’m a workaholic. Tapi, saya tak boleh salahkan dia. Dia mahu perempuan yang manja, berikan perhatian apabila diperlukan. Tapi, saya tak boleh nak beri itu.” Liyana cuba memberi contoh dengan kisahnya sendiri.

“Boleh ke dia terima saya even after saya dah banyak sakitkan hati dia?” Suara Haqiem mula mendatar tanpa dipaksa. Seperti pemain video, otaknya kembali mengingatkan dia kepada peristiwa di rumah Hadi tempoh hari. Berturut dengan amarah Nia yang sememangnya sukar untuk dia lupakan sehari-hari.

“Kalau dia boleh maafkan awak, bermakna awak masih ada peluang. You just should show her your effort and prove it. Pasal kesalahan atau kesilapan tu, saya tak nak judge. Tapi, abang saya selalu kata yang pasangan kita adalah cerminan diri kita. Kalau kita nak yang baik, kita kena jadi baik. Kalau kita suka mengamuk, pasangan kita mungkin seorang yang suka mengamuk juga.”

Haqiem diam. Dia tahu ada benar dalam kata-kata Liyana. Cuba dipatri janji baru dalam hati yang hanya dia sahaja yang tahu. Janji dia dengan Tuhan. Janji dia dengan dirinya sendiri. Janji untuk menjadi yang lebih baik. Janji untuk menjadi yang terbaik.

Klik gambar untuk kembali ke menu

Comments

  1. Blogwalking here.. jemput singgah blog sy ye :)

    https://asyiqin89.blogspot.my/2018/03/muka-lebih-bersih-dengan-teknik-double.html

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Baiti Jannati bawa makna sebenar dalam nama

I'm officially graduated!

Bad Genius: filem wajib tonton