[e-Novel] Anak Angkat Mama Bab 21

Nia menarik nafas panjang. Mahu tidak mahu, dia mengekor juga keluarga angkatnya ke pulau bekas sumpahan tujuh keturunan itu. Kalau sudah semua orang sepakat mahu merajuk dengannya jika dia menolak untuk ikut bercuti sama, takkanlah dia hendak berkeras juga? Kalau difikir-fikirkan semula, ada juga kelakarnya. Apa tidaknya? Lutfi juga sama-sama mengugutnya. Ada sahajalah modal lelaki yang sudah dianggap abang itu hendak mengusik.

Nia membuang pandang jauh ke luar tingkap yang menghala ke laut. Pergelangan tangannya yang kosong diusap berkali tanpa sedar. Fikirannya yang tadinya tertinggal di Kuala Lumpur kini cuba untuk menembus ke masa hadapan. Namun, otaknya jadi buntu setiap kali cuba memikirkan apa yang perlu dia lakukan andai Haqiem muncul di hadapannya nanti. Punca utama mengapa dia enggan ikut sama pun kerana inilah.

“Abang menyesal sangat lepas dia marah kau hari tu.” Terngiang-ngiang suara Hadi yang cuba membuka topik perbualan mereka semasa rehat makan tengah hari semalam. Nia yang sedang menyuap nasi ke mulut, jadi berhenti. Dia belum bersedia untuk berbicara mengenai hal ini. Walaupun dia tahu saat itu akan tiba juga.

Sorry. Aku tak ada niat nak kacau mood kau nak lunch. Tapi, sebab inilah aku nak ajak kau keluar sama-sama hari ni.” Melihat Nia yang masih diam seribu bahasa, Hadi menyambung lagi. Dia perlu selesaikan semua sengketa yang sedang berlaku di dalam keluarganya sesegera mungkin. Dia sendiri dah tak larat hendak menjawab dengan Mak Timah yang tak habis-habis bertanya mengenai perihal masalah Haqiem dan Nia.

“Nia. Aku harap sangat kau dengan abang dapat selesaikan perkara ni dengan baik. At least, sebelum Mama dapat hidu ada something yang tak kena antara kau dengan abang. Kita tak akan mampu nak sorok benda ni selamanya. Sementara abang tak ada kat rumah ni, mungkin Mama tak perasan. Tapi, esok lusa, masa kau orang dah berdepan, macam mana?” Soalan Hadi dibiarkan tanpa jawapan. Ditenung gelas berisi teh ais di hadapannya.

“Apa yang dimenungkan tu, Kak Nia?” 

Teguran Syazwani mengembalikan dia ke alam nyata. Diukir senyum segaris untuk si gadis yang tak lama lagi akan menjadi sebahagian daripada keluarga angkatnya. Yang juga bererti, tugas dia di rumah itu juga bakal berakhir. Tetapi, mungkinkah akan berakhir dengan baik? Nia melepaskan keluhan berat tanpa sedar.

“Bersiap-siap ni nak ke mana? Ingatkan kat KL je ligat. Kat Langkawi pun tak nak kalah, ya? Tahu tak yang bakal pengantin yang tinggal lagi sebulan je nak majlis tak boleh kerap sangat keluar berdua? Masa inilah, syaitan banyak mengganggu.”

Ah, kau kalau bab bercakap konon tunjuk pakarlah, Nia oi. Diri sendiri pun belum kahwin. Ada hati nak nasihatkan orang. Kalau tak kerana kantoi dengan Haqiem dulu, entah-entah, engkaulah kepala angkatan syaitan yang nak mengganggu hubungan Hadi dan Wanie. Nasiblah sempat kembali ke pangkal jalan.

“Ala, kakak pun dah macam ibu. Soalan pun bunyi lebih kurang je ni.” Nia ketawa kecil mendengar jawapan Syazwani yang mula menarik wajah masam. Tak kena langsung reaksi dengan tangannya masih ligat memakai selendang di atas kepala.

“Abang Hadi beritahu yang dia call Kak Nia banyak kali tak berangkat. So, at the end, dia call Wanie, minta tolong escort kawan baik dia ni ke pantai. Katanya, dah janji sejak semalam lagi nak pusing-pusing Pantai Cenang.”

Mendengar kata-kata Syazwani yang langsung tidak memandangnya, Nia laju bingkas mencari beg tangannya yang dibiarkan di hujung katil. Patutlah tak dengar sebarang bunyi. Telefon bimbitnya masih berada dalam sejak mod senyap sejak mereka mendarat di Lapangan Terbang Kuah tengah hari tadi. 

“Alamak. Sorry. Okey, ni semua salah akak. Macam nilah. Wanie keluar dulu, jumpa Hadi. Beritahu dia yang akak tengah bersiap. Akak janji, tak lama. Only around five minutes.” Ditemukan dua telapak tangan di hadapan Wanie yang bercekak pinggang memandangnya. Alah, bukan selalu aku jadi orang paling akhir bersiap. Selalunya, akulah yang paling awal. Lebih cepat daripada Hadi dan Haqiem sendiri.

Dihantar Wanie keluar bilik dengan pandangan mata. Nafasnya dilepaskan berat. Tanpa sedar, dia menyebut nama itu lagi di dalam hatinya. Terasa keliru juga kalau difikir-fikirkan semula. Entah di mana hendak diletakkan silap dan puncanya perang dingin itu. Hendak disalahkan Haqiem, semua ini berpunca daripada dia juga. Hendak menyalahkan diri sendiri sepenuhnya, hati masih merasakan yang Haqiem tidak patut memarahi dia tanpa usul periksa seperti itu. Beg tangan di hujung katil dicapai perlahan.

“Kiranya, waktu malam kat sini memang tak akan sunyi. Hampir seluruh kawasan pantai ni akan dipenuhi dengan bar dan bistro. Lagi elok kalau kita elakkanlah datang sini lepas pukul 10 atau 11 malam.” Telinga Nia seakan dapat menangkap sedikit butir perbualan antara Hadi dan Wanie yang duduk elok di atas kerusi pantai saat dia merapati pasangan itu yang jelas masih tidak sedar dengan kehadirannya. 

“Dah lama ke tinggal kat sini?” Nia menyelit, mahu mengusik Hadi yang dari tadi rancak berkongsi cerita. Riak wajah Hadi berubah masam. Dahlah lambat. Ada hati nak potong cerita aku. Aku tarik juga tudung anak pakcik Rahim ni kesudahannya nanti. Hati Hadi berbisik rancak.

Melihat Hadi yang buat tidak endah dengannya, Nia ketawa kecil tidak tertahan. Konon marahlah tu sebab aku lambat bersiap, lupa janji dan seribu alasan lain. Elok sangatlah tunjuk perangai budak tak cukup umur tu depan tunang. Nasib tunang tu pun perangai dua kali lima je. Lepas ni, pandai-pandailah kau orang pujuk satu sama lain kalau jadi hal macam ni. 

“So, tunggu apa lagi? Jomlah pergi jalan-jalan. Nanti, dah lewat sangat, kau marah lagi.” Kita cuba perli dia sedas pulak, tengok respon dia macam mana. Masih, wajah kelat Hadi tidak berubah.

“Ada seorang lagi ni. Katanya sekejap je. Rupanya, lagi dahsyat lambatnya.” Suara Hadi makin sarkastik. Elok betul dua orang ni buat perangai berlengah tu bersama-sama hari ni. Geram pulak hati kita.

Syazwani dan Nia bertukar pandang dalam kekeliruan. Tak ada pula Hadi menyebut nama lain dalam panggilannya tadi. Tiba-tiba, Syazwani menepuk kedua belah tangannya. Gayanya seperti sudah dapat menangkap maksud Hadi. Tetapi, disembunyikan dalam senyum penuh makna yang cuba ditahan-tahan.

Sorry, I’m late.”

Tubuh Nia jadi kaku saat mendengar suara itu yang datang dari arah belakangnya. Tanpa perlu menoleh dan melihat pun, dia sudah dapat meneka milik siapakah suara yang baru menghampiri mereka bertiga di tepi pantai itu. Nia mula mengutuk diri sendiri dalam hati. Kenapalah kau ni lembab ni tak boleh nak faham maksud Hadi tadi? Siapa je lagi yang mungkin nak ikut serta rancangan mereka petang ni. Tak mungkinlah Puan Sri atau Mak Timah kan? Lutfi? Awal-awal lagi sudah ke Kampung Ulu Melaka. Berjumpa kawan katanya. Kawan ke ‘kawan’, tak siapa tahu.

Nia mencubit pergelangan tangannya sekuat hati dalam diam. Sakit. Bermakna ini bukan mimpi. Bermakna insan yang sedang berdiri di belakangnya saat ini betul-betul wujud. Bermakna, mimpi ngerinya sudah menjadi nyata. Anak sulung Puan Sri Azizah sedang berdiri di belakangnya. Orang yang paling dia nak elak berada hanya berselang selangkah sahaja daripadanya. Pura-pura jadi patung cendana balik, boleh tak?

“Alhamdulillah. Jumpa jalan rupanya. Anyway, Hadi dengan Wanie nak beli minuman kejap kat kedai depan tu. Tekak dah naik kering kena tunggu lama-lama. Tunggu kat sini elok-elok. Jangan gaduh-gaduh tarik rambut pulak.”

Wajah Haqiem tayang senyum kelat. Cari pasal pulak adik aku berdua ni. Dah tahu yang aku dengan Nia belum berbaik, boleh pulak dia orang buat perangai dua kupang macam ni. Macamlah aku tak tahu apa dalam kepala Hadi tu. Tekak kering konon. Aku belasah samapai kering jugak kejap lagi dalam bilik nanti.

Nia yang langsung tidak memandangnya, diintai dengan hujung mata dalam diam. Dia tahu gadis itu tidak selesa dengan keadaan yang ada sekarang. Kerana, dia juga merasakan yang sama. Tapi, dari gayanya, mungkin hanya dia yang benar-benar terkesan. Mungkin kerana salahnya lebih besar. Mungkin Nia masih belum boleh memaafkan kesalahannya. Mungkin juga, Nia sudah langsung tidak memikirkan tentang apa yang telah terjadi. Ah, mungkin itu, mungkin ini. Di mana akhirnya? Haqiem menarik nafas panjang. Duduknya diperbetul. 

I’ve heard about the event. Tahniah and seriously, thank you.”

Nia sedikit tersentak dengan teguran Haqiem yang agak tiba-tiba, tetapi laju membalas kata-kata lelaki itu dengan menggeleng. Majlis makan malam amal tu bukan hanya usahanya seorang. Ramai sangat yang telah membantunya sejak dari mula-mula dia menerima tanggungjawab sebagai Pengarah Projek sehinggalah segalanya selesai dua malam yang lalu. Termasuklah insan yang sedang duduk menghadapnya sekarang ini.

“Abang… Abang nak minta maaf. I know that I’m not supposed to be mad at you to that extend. Abang sepatutnya kena dengar dulu penjelasan dari pihak Nia dengan Hadi. Dahlah Nia penat dan tak cukup rehat, I was being harsh with my words to you. Abang minta maaf sangat-sangat.”

Nia tunduk. Dia tahu Haqiem sedang cuba memperbaik hubungan dingin antara mereka. Dia juga mahukan yang sama. Tetapi, entah kenapa hatinya masih teragak-agak dan takut kalau-kalau perkara sebegini akan berulang lagi. Sekali dia menghadap tengkingan Haqiem, mungkin masih boleh berbaik lagi. Tapi, mustahil jika untuk kali kedua. Kali pertama pun, hatinya sudah sakit dan rasa remuk di dalam. Masih, dia sedar yang semua ini bukan salah Haqiem sepenuhnya. 

“Saya sebenarnya tak tahu nak kata apa. Sebahagian daripada masalah ni pun berpunca daripada saya. Tapi, demi keluarga ni, demi majlis Hadi dan Wanie yang tinggal lebih kurang sebulan lagi, saya rasa kita memang perlu buang je semua yang keruh tu.”

“Tapi, I really want you to forgive me. Bukan untuk orang lain. Bukan disebabkan oleh benda lain. Tapi demi diri kita sendiri. Sebab, selagi Nia tak cakap yang Nia dah maafkan abang, abang akan rasa terbeban.”

Eh, mamat psiko ni main beban-beban pula! Aku yang rasa terbeban sekarang ni bila dia cakap macam tu, tahu tak? Dengan buat muka kesian macam tu. Nak gelak, tak boleh. Mood tengah serius. Tapi, seriuslah reaksi muka dia kelakar sekarang ni. Aduh. Macam mana aku nak yakinkan dia yang aku dah maafkan dia ni? Hati Nia rancak bermonolog sendirian.

Pening juga hendak melayan karenah anak-anak Puan Sri Azizah. Seorang begini, seorang lagi begitu. Diramas pergelangan tangannya dalam gelisah yang cuba disembunyikan. Riak wajahnya berubah tiba-tiba. Haqiem yang masih memandangnya, dipandang semula.

“Cukup tak kalau ini jadi bukti yang saya betul-betul dah maafkan encik?”

Haqiem tersenyum saat melihat gelang perak yang elok berada di pergelangan tangan gadis yang sedang sama-sama tersenyum sepertinya. Kesudian Nia menerima hadiah daripadanya sudah cukup memberi suatu makna yang besar dalam hidupnya tika ini. Namun, ada sesuatu yang perlu diubah dan diperbaik antara mereka berdua. Masalah yang satu itu.

“Lebih dari cukup sebenarnya. Tapi, akan jadi lebih sempurna kalau Nia panggil abang, abang. Tak mahulah berencik-encik ni. Kita semua kan satu keluarga. Nia pun anak Mama. Sampai bila-bila pun anak Mama.”

Klik gambar untuk kembali ke menu

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Baiti Jannati bawa makna sebenar dalam nama

I'm officially graduated!

Bad Genius: filem wajib tonton