[e-Novel] Anak Angkat Mama Bab 20

“ASSALAMUALAIKUM, ANITA.”

Anita yang baru sahaja selesai menjawab panggilan intercom disapa ramah. Riak wajah gadis itu pun sama sahaja sepertinya. Gembira kerana majlis terbesar syarikat sudah selamat berlangsung dengan lancar malam semalam. Lega kerana sudah boleh fokus kepada tugasan asal tanpa tekanan lain. 

“Waalaikumussalam, Cik Nia. Encik Hadi baru je intercom saya, minta Cik Nia tunggu kat sini. Encik Hadi dah nak keluar.”

Nia mengangguk. Namun, baru sahaja dia mahu mengajak Anita berbual, Hadi sudah keluar dengan telefon bimbit di telinga kanannya. Berbincang entah apa dengan si pemanggil. Riak wajah Hadi yang serius, mematikan niatnya mahu menegur.

“Come, Nia. Kita naik atas dulu. Aku ada fail nak kena ambil dalam bilik CEO.” Hadi terus mengajak sebaik panggilan telefonnya diputuskan.

Nia laju menggeleng. Entah kenapa kakinya terasa berat hendak melangkah apabila mendengar gelaran itu keluar dari mulut Hadi. Padahal, sudah terang-terangan dia dimaklumkan mengenai ketiadaan Haqiem. Sekali daripada Puan Sri Azizah sebelum berlangsung majlis bersama anak-anak yatim semalam. Sekali lagi daripada Mak Timah yang mahu memujuknya pagi tadi. Masih, langkahnya mati.

Hadi mengeluh berat. Pantanglah sekarang ni kalau sebut pasal abang, Nia mesti jadi patung cendana. Abang pula, bila sebut nama Nia, automatik akan jadi bisu. Rasanya kalau diletakkan abang dan Nia dalam satu tempat, seorang akan ke kutub utara, seorang akan ke kutub selatan. Memang aku suka sangat keadaan macam ni. Suka sangat-sangat!

“Kita nak ke bilik CEO je. Orangnya tak ada pun.” Perlahan Hadi berbisik sebaik dia merapati Nia yang masih tidak mahu bergerak. Kalau aku tarik je hujung tudung anak dara Pak Cik Rahim ni kira kejam sangat tak? Rasa macam ini bukan kali pertama aku rasa nak buat macam ni. Hati Hadi galak berbisik sendiri.

Mahu tidak mahu, Nia mengekor juga Hadi menuju ke lif yang kebetulan baru sampai. Terasa janggal yang amat sangat. Bukan kepada Hadi. Tetapi, dia sendiri pun tak tahu mengapa hatinya berasa janggal. Rasa janggal yang teramat sangat! 

“Hai, Encik Hadi, Cik Nia.” Fidzreen terus menegur sebaik pintu lif itu terbuka. Bersungguh dia mahu menunggu dua ‘tetamu’ itu sampai. Terus sahaja dia bingkas dari kerusinya selepas dimaklumkan Haqiem sebentar tadi yang Hadi akan singgah sebentar untuk mengambil fail yang dipesannya.

Hilang terus rasa tidak selesa yang tadinya bersarang dalam hati Nia. Lebar senyum Nia diukir tanpa paksa. Bakal ibu ini ada sahaja akalnya yang tidak diduga. Pastinya anaknya nanti nakal seperti ibunya juga. Langkah Fidzreen yang mendahului dia dan Hadi diekori lambat. Terasa macam orang besar-besar pula dilayan sebegini.

“Cik Nia dan Encik Hadi tunggu sekejap di sini, ya. Saya ambilkan fail dalam bilik bos.” 

Saling berpandangan, Hadi dan Nia akhirnya mengangguk kecil sebelum mengukir senyum segaris apabila Fidzreen membawa mereka ke ruang menunggu yang berada berhampiran mejanya. Siap escort ke sofa empuk lagi. Bukan selalu boleh mendapat layanan bertaraf lima bintang sebegini!

Tidak sampai lima minit Fidzreen meninggalkan mereka berdua di situ, Nia bingkas semula. Tidak betah pula rasanya dilayan sebegini. Hadi yang sedang bermain dengan telefonnya dipandang sekilas. Lagaknya bagai orang kelas atasan. Oh, ya! Dia memanglah orang kelas atasan. Anak Puan Sri lagi tu. Kau tu yang datang menumpang kasih je. Nia berbisik dalam hatinya sendiri. 

“Ya, Cik Kyra. Ada apa-apa yang boleh saya tolong?” Fidzreen yang baru keluar dari bilik Haqiem dengan fail hitam di tangan kanannya sedikit terperanjat. 

Mana tidaknya. Boleh pula ada tetamu yang tidak diundang di depan pintu bilik majikannya tika ini. Ini mesti Amy di bahagian penyambut tetamu terlepas pandang. Atau mungkin, dia tidak mampu nak menghalang. Tahu sahajalah perangai Kyra. Bukan dipedulikan orang. Tanpa sedar, tangannya didepa seluasnya. Sekadar refleks mahu menghalang Kyra dari cuba masuk ke bilik Haqiem.

“Mana Haqiem?” Nada suaranya bagaikan isteri seorang majikan.

“Encik Haqiem outstation, Cik Kyra.” Fidzreen berterus-terang. Kalau bos ada pun, aku tetap akan jawab benda yang sama. Buat hallah namanya kalau biarkan perempuan ni jumpa bos. Dengan aku sekali terpaksa menanggung nanti.

“You tak payah nak tipu. I nampak kereta dia dekat basement.” Suara Kyra naik satu lagi anak tangga.

Fidzreen mengepal genggam tangan yang masih didepa. Ini lagi satu hal! Dahlah, ikut suka kau je nak datang pejabat ni. Datang tengking-tengking orang. Lepas tu, ikut suka kau je nak jelajah basement tu. Kalau ada kes pecah kereta selepas ni, memang aku cari kau dululah. 

“Bos tinggalkan kereta dia kat basement sebab dia naik flight.”

Kyra menjeling tepat ke arah Fidzreen yang nampak tenang menghadapnya. Kalau aku dapat kahwin dengan Haqiem, perempuan ni orang pertama aku pecat. Kalau tak pun, aku tukarkan dia ke bahagian janitor. Biar dia kerja cuci jamban. Asyik nak menyakitkan hati aku.

“Apa hal kecoh-kecoh ni? Kyra, ada apa you datang sini?” Hadi yang dari tadi hanya memerhati, akhirnya mencelah. Kalau Kyra ni, lawannya aku je. Abang aku pun asyik mengalah je dengan dia ni. Perempuan ni, kalau tak dibahasakan, memang tak faham-faham.

“I nak cari Haqiemlah. Salah ke?” Nada suara Kyra berubah. 

Almaklumlah, bercakap dengan orang yang paling rapat dengan Haqiem. Silap-silap, boleh jadi aset untuk dia masuk ke dalam keluarga itu. Takkanlah Puan Sri Azizah akan terus menghalang kalau si adik dah merestui, kan?

“Of course it’s wrong, unless you have business here.” Senyuman Hadi sinis. 

“My business is Haqiem.” Kyra tayang muka yakin.

“But you were never his. Jadi, lagi elok you jangan kacau Haqiem lagi kut. I tak nampak you ada termasuk dalam ciri-ciri gadis idaman dia.” Sedas lagi ayat pedas keluar laju dari mulut Hadi. 

Nia yang baru balik dari tandas jadi terpinga-pinga. Tadi baru sahaja dia tinggalkan pejabat dalam keadaan yang sangat sunyi, sampaikan hanya bunyi ketikan papan kekunci sahaja yang kedengaran. Sekarang, riuh rendah macam pasar ikan! Semua pekerja yang saling berbisik sambil mengintai ke arah pintu bilik Haqiem dipandang satu persatu. Ada gosip hangat ke? Ah, whatever!

“Oh, yes. I lupa nak perkenalkan. This is Nia, bakal kakak ipar I.” Selamba Hadi menunjuk ke arah Nia yang baru hendak duduk semula di sofa.

“What?!?” Serentak, suara Nia dan Kyra bergabung tanpa dipaksa.

Bukan hanya mereka berdua. Malah seluruh isi pejabat bahagian pentadbiran itu pun ikut sama terkejut. Mana tidaknya. Ini satu kenyataan yang sangat ekslusif. Belum pernah keluar dari mulut bos mereka sendiri. Fidzreen yang masih berdiri di hadapan pintu bilik pejabat Haqiem, menunduk menahan ketawa sendiri.

Anak-anak teruna Puan Sri Azizah memang suka buat kerja gila. Sesedap rasa sahaja Hadi membuat pengumuman tanpa mempedulikan Nia yang jelas terkejut. Tetapi, seronok juga sesekali melihat drama swasta dalam pejabat sendiri. Nasiblah kau, Kyra. Baru kena bertemu buku dan ruas. Kalau dengan aku, asyik nak menang je. 

“No. It’s okay. Let’s just tell her the truth.” Hadi berpaling, memandang Nia yang seakan cuba menafikan kenyataannya tadi. Diisyarat dengan reaksi muka kepada Nia bahawa kata-katanya semata ingin mengenakan Kyra yang jelas datangnya tidak diundang. Malas hendak melayan, Nia sekadar mengisyaratkan dengan tangan, tanda merelakan.

“Sebenarnya, abang I bukan semata-mata pergi outstation je. Dia nak tengok dan cari barang hantaran yang sesuai untuk majlis nanti. And... Kyra, nak pergi mana? Tak habis cerita lagi ni.”

Melihat Kyra berlalu pergi tanpa sempat dia menghabiskan hikayat kisah dongengnya, Hadi jadi puas sendiri. Baru je aku nak karang cerita rakyat untuk halwa telinga semua orang, si pendengar utama dah mengalah dan larikan diri. Padan muka kau. Berangan sangat nak jadi kakak ipar aku.

Hadi berpaling, mahu kembali duduk di tempat asalnya tadi. Namun, wajah Nia yang memandang tepat ke arahnya terlebih dahulu menyapa. Terasa terngiang-ngiang di telinganya suara Nia sedang meminta dia memberi penjelasan. Sekarang, padan muka aku. Pakai sedap mulut je heret Nia sekali. Tapi, kalau betul pun memang tak ada masalah bagi aku sekeluarga. Mama pun confirm setuju.

“Betullah kau bakal kakak ipar aku. Kau kan kakak angkat Wanie. Dan abang memang tengah carikan barang hantaran bagi pihak aku. Tak tahulah kalau kau ada definisi lain untuk kakak ipar tu.” Hadi memberi alasan tanpa ragu-ragu. Ayat terakhirnya sengaja dituturkan dalam suara separa berbisik. Mahu mengusik Nia yang jelas memerah pipinya. Aik? Baru cakap sikit macam tu dah blushing? Penuh makna sangat.

Klik gambar untuk kembali ke menu

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Baiti Jannati bawa makna sebenar dalam nama

I'm officially graduated!

Bad Genius: filem wajib tonton