[e-Novel] Anak Angkat Mama Epilog & Bab 1

EPILOG


"KAU yakin dengan keputusan yang kau buat ni?"

Mengangguk.

"Serius?"

Mengangguk lagi.

"Kau yakin yang kau tak akan menyesal langsung di kemudian hari?"

Kepalanya diangguk-angguk lagi. Kali ini lebih lama. Raihana melepaskan keluhan berat. Wajah tekad kawan baiknya itu dipandang lama. Bagasi sederhana besar yang sudah siap dikemas di tepi katil dipandang sekilas. Nia Atilia bila sudah tekad memang tiada siapa yang boleh mengubahnya. Cuma...

"Nia, kau tak rasa ke idea kau gila? Macam mana kalau rancangan kau tak menjadi? Sia-sia je semua ni, tahu tak?"

Nia langsung tidak menjawab. Menjadi atau tidak, semua tu tolak ke tepi. Yang penting sekarang ni, perasaannya. Rasa hendak meletup jantungnya bila Hadi mengkhabarkan berita yang dia dan Syazwani sudah bertunang dua minggu lepas. Otak terus berhenti berfikir dengan waras bila Hadi menambah, majlis nikah dan kenduri akan diadakan tiga bulan dari sekarang.

"Nia, aku tahu kau sayangkan Hadi. Tapi, cuba kau terima kenyataan ni. Dia dah nak kahwin kut. Mungkin ini petanda yang kau patut lupakan je dia dan teruskan hidup kau dengan aman kat sini."

Pandangan Nia yang mencerlung kepadanya tidak diendahkan. Dia perlukan Nia untuk berfikir dengan lebih tenang dan waras. Bukan sekejap tempoh perkenalan antara mereka berdua. Sejak di kampung lagi. Malah, kerana idea Nialah mereka berada di negara asal budaya K-Pop hari ini. Tetapi, mengenali Nia sejak kecil mengajar dia yang kata-katanya saat ini hanyalah usaha yang sia-sia.

BAB 1


PANDANGANNYA meliar ke seluruh kawasan lapangan terbang itu. Banyak yang berubah sejak kali terakhir dia di sini, empat tahun yang lalu. Tampak lebih maju. Pemergian dia dan Raihana ke Korea bukanlah kerana membawa diri, namun, lebih kepada ingin mencari pengalaman baru. Sebaik rekaannya diterima oleh sebuah syarikat di sana, langsung dia tidak berkesempatan untuk pulang ke tanah air.

Namun, hanya kerana cintanya bakal pergi tanpa sempat dizahirkan, terus dia meninggalkan segalanya. Termasuklah sahabat baiknya sendiri. Takkanlah dia hendak memaksa Raihana agar mengekori tindakannya berhenti kerja dan pulang ke Malaysia. Itu kerja gila! Sudahlah empat tahun dulu pun Raihana sanggup meninggalkan keluarganya demi mengekori Nia yang kononnya mahu mengejar impian hidup di Korea. Macamlah di Malaysia tidak boleh menjadi pereka fesyen yang berjaya!

Telefon bimbit yang dimatikan sejak di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon tengah hari tadi dihidupkan semula. Hanya ada satu pesanan untuknya. Dari Raihana. Disentuh skrin telefon pintarnya lembut. Pesanan Raihana mula terpapar.

'By the time kau baca mesej ni, aku tahu kau dah sampai KLIA. Bermakna, aku dah tak boleh ubah fikiran kau. Cuma aku nak tanya satu benda je, apa kau nak buat sekarang? Aku rasa kau pun dapat agak apa ayah kau akan buat kalau dia dapat tahu kau tinggalkan segalanya demi one-sided love kau tu. Itu yang aku nak cakap dengan kau semalam. Tapi, belum sempat aku habiskan ayat, you shut me off. Kau fikirlah baik-baik apa yang perlu kau buat sekarang. Wassalam.'

Tanpa sedar, Nia menepuk dahinya sendiri. Ada betulnya apa yang ditulis Raihana. Dia pulang ke Malaysia hari ini tanpa pengetahuan sesiapa selain Raihana. Bahkan orang yang menjadi punca idea gilanya ini juga tidak tahu. Jadi, ke mana arahnya sekarang? Lambat, langkahnya diatur keluar dari ruang menunggu lapangan terbang.

Nia menapak perlahan menyusuri lorong berbatu kecik itu. Pandangannya menala pada rumah dua tingkat bercat kelabu di hadapannya. Nafasnya ditarik sedalam-dalamnya sebelum bersuara memberi salam. Tiada jawapan. Lafaz salam dilaungnya sekali lagi. Masih tiada jawapan.

"Assalamu...." Pintu rumah dikuak perlahan. Nia memberanikan diri untuk menghampiri pintu rumah yang terbuka sedikit. Ala, bukan orang lain. Keluarga sendiri. Marah bagaimanapun, takkanlah sampai sanggup mengapa-apakannya. Yakah?

"Nia, akak cadangkan, baik Nia lari sekarang."

Safiya berbisik di sebalik tingkap bilik yang sedikit terbuka. Bimbang juga andai ayah mereka, Encik Rahim tahu yang dia cuba membantu adiknya. Tak pasal-pasal, dia juga akan terkena amukan ayah nanti.

"Kenapa kak?"

"Lari jelah."

Perbualan antara dua beradik itu terhenti apabila mendengar bunyi pintu rumah dikuak kasar. Riak wajah Nia mula berubah cuak apabila melihat Encik Rahim yang keluar dengan parang panjang di tangannya. Kes berat ni. Kalau tunggu, tak selamat. Lebih baik lari.

"Ayah, ampunkan Nia, ayah. Nia tahu apa yang Nia buat ni salah. Maafkan Nia, ayah."

"Oh, kamu lari, ye? Dulu nak sangat ke Korea tu. Sekarang ni, hanya sebab cinta, kamu tinggalkan semuanya. Larilah, lari. Lari jauh-jauh sikit. Ayah nak tengok jauh mana kamu boleh lari. Nanti kamu!"

"Tidakkkk!"

Nia terasa bahunya ditepuk seseorang. Dibuka matanya yang tadinya ditutup rapat. Tiada lorong berbatu. Tiada rumah bercat kelabu. Dan, yang paling penting, tiada ayah dengan parang panjang di tangannya. Yang ada cuma barisan teksi yang sedang menunggu pelanggan masing-masing.

Nia laju menekup mulutnya. Menunduk malu dia dek pandangan sekeliling yang masih jatuh ke atasnya. Diketuk sisi kepalanya perlahan. Itulah. Berangan tak kena tempat betullah Nia Atilia ni. Tapi kalau berangan pun dah jadi seseram dan sengeri itu, macam mana kalau ia benar-benar terjadi? Menggeletar tubuhnya tanpa sedar.

Nia menarik nafas panjang. Laju ditarik bagasinya menuju ke perhentian teksi yang hanya sekangkang kera jaraknya. Hanya satu tempat sahaja yang terlintas di fikirannya sekarang. Yang pasti, bukan rumah ayah. Ish, seram!

"AH Holding, Bangsar, please."

Klik gambar untuk kembali ke menu

Comments

Popular posts from this blog

Baiti Jannati bawa makna sebenar dalam nama

I'm officially graduated!

Bad Genius: filem wajib tonton