[e-Novel] Anak Angkat Mama Bab 7

"ABANG jangan lupa yang kejap lagi abang kena temankan Nia beli barang."

Pintu biliknya yang tiba-tiba dikuak dari luar sedikit mengejutkannya. Hilang sebentar fokusnya kepada fail laporan projek yang hampir selesai disemaknya. Wajah Hadi dipandang lama, membuatkan adiknya mula tidak senang. Pandangan Haqiem dibalas dengan dahi yang berkerut.

"Abang confuse. Siapa sebenarnya yang tinggal kat London lama sangat ni? Abang ke kau? Ataupun waktu tadika dulu cikgu kau tak ajar? Nak masuk bilik atau rumah orang kena ketuk pintu dan bagi salam dulu. Mama hantar pergi sekolah, kau tidur masa cikgu mengajar?" Panjang leteran Haqiem tanpa jedaan.

Hadi menggaru kepala yang tidak gatal. Pandangannya dialihkan dari memandang tepat ke arah abangnya. Abangnya yang seorang ini, jika sudah berleter, kalah mama di rumah. Salah dia sendiri juga. Kelam-kabut teramat. Sampaikan terlupa mahu mengetuk dahulu pintu bilik pejabat abangnya. Sekarang, hadaplah leteran berapi Haqiem. Hadi mengundurkan langkahnya sedikit, menutup pintu sekadar sebagai syarat.

"Assalamualaikum, tuan. Maafkan saya atas kesilapan saya. Saya cuma kelam kabut sebab nak kena masuk bilik mesyuarat sekarang. Bantuan anda saya dahulukan dengan ucapan terima kasih." Hadi terus menghilang tanpa sebarang kata.

Haqiem memerhati jam dinding yang berada betul-betul di hadapannya. Baru pukul 10 pagi. Mana-mana pasaraya juga baru mula beroperasi pada waktu begini. Tetapi, mengagak dari gelagat Nia tiga hari yang lalu, pastinya gadis itu sedaya upaya cuba mengelak daripada terpaksa pergi bersamanya. Dan pastinya, dia yang akan dihukum sekiranya Nia benar-benar pergi tanpanya.

Eh, kau mana ada nombor telefon dia! Macam mana kau nak ugut dia macam ni? Haqiem menepuk dahinya perlahan atas kesilapannya sendiri. Bagaimana dia boleh lupa perkara kecil sebegitu? Mahu diminta daripada Hadi, pasti adiknya sedang bersedia untuk mesyuarat yang tinggal beberapa minit lagi sebelum berlangsung. Tanpa sedar, mejanya diketuk dengan hujung jari telunjuk.

Mak Timah! My sole savior!

Nama Mak Timah dicari dalam ratusan nama yang memenuhi buku kenalan di telefon bimbitnya. Terus diklik ikon gagang sebaik sahaja nama itu ditemui. Lama dia menunggu sebelum panggilannya berjawab.

"Assalamualaikum, Mak Timah." Wajah Haqiem berubah ceria.

"Waalaikumussalam. Ada apa abang tiba-tiba telefon Mak Timah ni? Tak pernah-pernah sejak balik ke Malaysia." Suara Mak Timah di sebelah sana panggilan jelas keliru dengan tindakan mendadaknya. Namun, ini sahaja cara yang ada.

"Mak Timah, anak angkat mama tu dah keluar ke?" Soalan Haqiem berbahasa-basi.

"Tadi Mak Timah tengok dia tengah bersiap-siap nak keluar. Kenapa?" Mak Timah sekadar menjawab bersahaja. Masih hairan dengan tujuan utama Haqiem menghubunginya. Namun, akhirnya mengukir senyum dalam diam. Bagai dapat mengagak apa yang cuba dilakukan Haqiem.

"Mak Timah tolong abang, boleh?" Suara Haqiem kedengaran riang. Rancangannya diterangkan satu persatu kepada Mak Timah yang langsung tidak banyak menyoal. Dia tahu dia boleh mengharapkan wanita sebaya mamanya itu.

Panggilannya dimatikan dengan perasaan puas hati. Fail yang tadinya belum habis disemak dibuka semula. Yakin dan puas hati dengan isi laporan yang dibacanya, dia menurunkan tandatangan dan cop rasminya tanpa berlengah. Sekarang, masa untuk rancangan yang baru dikhabarkan kepada Mak Timah sebentar tadi.

"Reen, saya tak ada sebarang appointment petang ni, kan?" Butang intercom ditekan. Lembut suara setiausahanya membalas soalan yang diberi. Senyuman Haqiem makin melebar. Now, I have the whole day untuk kenakan anak angkat mama, hati kecil Haqiem riang berbisik.


LAJU NIA MENURUNI anak tangga. Bimbang juga rancangannya untuk melarikan diri daripada Haqiem tidak menjadi. Jadi, sebelum mamat psiko itu sampai di rumah, lebih baik dia meninggalkan rumah itu segera. Tiga hari tanpa mamat psiko itu adalah hari-hari yang sangat menenangkan hatinya. Tidak sanggup dia membayangkan terpaksa keluar dengan lelaki itu sepanjang hari ini, apatah lagi jika ianya benar-benar terjadi.

"Nia!"

Eh? Laju dia menoleh ke arah dapur. Mak Timah yang muncul dengan mop dan baldi dipandang dengan senyuman yang diukir semanis mungkin. Takkanlah Mak Timah nak minta aku mengemop lantai pulak saat-saat genting macam ni? Tapi, takkanlah jugak aku nak menolak? Aku ni pun menumpang je dalam rumah ni.

"Nia dah nak keluar ke? Abang belum sampai lagi. Mak Timah baru nak minta tolong Nia siramkan pokok bunga mama kat luar tu. Nanti mama bising pulak kita tak jaga pokok-pokok kesayangan dia." Mak Timah menarik wajah kasihan. Dalam hatinya cuba menahan gelak. Bukannya dia sesibuk mana. Mop dan baldi ini pun sekadar penyeri jalan cerita sahaja.

"Siram pokok bunga je, kan? Tak apa. Nia buat." Nia menarik nafas lega. Setakat siram pokok bunga, pejam celik dah siap. Jam di dinding dikerling dengan hujung mata. Masih ada dua belas minit dari masa yang diberitahunya kepada Hadi pagi tadi. Memang sengaja dia memberitahu masa yang salah. Supaya sempat dia melarikan diri dari mamat psiko!

Mak Timah mengangguk laju. Sibuknya dibuat-buat. Sesekali dia mengerling ke arah Nia yang tampak berat melangkah keluar rumah. Maaflah ya Nia! Mak Timah ni cuma menjalankan apa yang disuruh. Hendak melawan, dia bos. Mak Timah ni kuli je. Mak Timah mencari alasan di dalam hati. Tanpa sedar bibirnya mengukir senyum. Entah kenapa hati tuanya dipamit rasa bahagia.

Nia yang ralit menyiram pokok bunga di sisi kiri rumah agam itu diintai dari celahan langsir yang rapat menutupi tingkap. Sesekali mulut Nia dilihatnya terkumat-kamit berbicara entah apa-apa dengan dahan bunga lavender di hadapannya. Mungkin tidak puas hati disuruh membuat kerja sebegitu saat dia sudah siap bergaya mahu keluar. Atau mungkin ada saja perkara lain yang berbekas di hatinya. Namun, senyuman di bibir Mak Timah masih belum mati.

Sejak dari hari pertama Nia muncul semula di rumah agam milik Puan Sri Azizah ini, serinya kian terasa. Dengan karenah Hadi dan Nia yang tidak habis-habis bergaduh, walau tentang hal kecil sekalipun. Puan Sri Azizah pula mula tersenyum kerana merasakan dirinya memiliki anak perempuan yang selama ini diidamkannya. Haqiem yang selalunya sebulan sekali baru memunculkan diri, pulang semakin kerap.

"Mak." Perlahan Lutfi memanggil emaknya yang masih asyik mengendap anak dara kesayangan Puan Sri Azizah. Kelakar pun ada bila emaknya menceritakan semula rancangan Haqiem kepadanya tadi. Nasib baiklah mereka berdua sempat menghalang Nia daripada keluar dengan rancangan yang difikirkan betul-betul di saat akhir. Jika tidak...

"Haqiem baru call Fi tadi. Dia dah sampai kat luar tu. Kalau mak nak lepaskan Nia sekarang pun tak apa." Mak Timah mengangguk tanda faham. Dipanggil Nia yang ralit menyanyi lagu yang langsung tidak difahami Mak Timah. Bukan kerana ianya di dalam bahasa lain, tetapi terlalu perlahan dinyanyikan untuk didengari dan dihadam kotak fikiran.

"Tak apalah, Nia. Biar Mak Timah saja yang sambung siram pokok tu. Nanti basah lencun pulak. Nia kan nak keluar." Lutfi yang menyorok di sebalik pintu, sudah hampir putus nafas menahan ketawa. Tidak pernah terlintas di fikirannya yang emaknya cukup handal berlakon.

"Kalau macam tu, Nia gerak dulu ya, Mak Timah." Beg tangan yang tadinya ditinggalkan di atas sofa di tengah ruang tamu. Dipandang jam di dinding sekilas. Masih ada lebih kurang tujuh minit lagi. Masih sempat untuk dia melarikan diri. Bibirnya melakar senyum tanpa sedar. Butang suis yang mengawal pagar besar ditekan, membuka laluan untuk dia keluar. Tiada bayang kereta Haqiem di mana-mana. Langkahnya terasa terbang, seperti hatinya.

Pinnn!

Langkah Nia terhenti. Nissan Murano yang berhenti betul-betul di belakangnya mematikan senyuman. Pintu pagar yang sudah kembali bertutup dipandang sepi. Antara Mak Timah sememangnya sudah berpakat dengan Haqiem untuk mengenakannya atau takdir sedang mengujinya. Tetapi, kebetulan itu terlalu sempurna untuk diterima akal.

"Masuk." Suara Haqiem hanya mendatar.

"Saya boleh pergi sendiri. Encik tak perlu susahkan diri untuk temankan saya. Mungkin encik boleh keluar dengan girlfriend encik. Jangan risau. Saya tak akan beritahu Puan Sri." Suara Nia ikut mendatar, dengan wajahnya yang sengaja dimaniskan.

"Masuk sebelum I tarik you masuk dalam kereta." Haqiem berkata tanpa menoleh kepada Nia yang jelas terkejut dengan kata-katanya. Namun, segera diubah riak wajahnya sebelum disedari Haqiem. Setakat kata-kata, itu tidak sepatutnya menggetarkan hatinya.

Nia yang buat tidak peduli dengan kata-katanya dipandang tajam. Aik, dia boleh buat tak layan cakap aku? Takkanlah aku nak kena tarik dia masuk dalam kereta betul-betul baru dia nak faham? Berkasar bukan caranya. Haqiem berkira-kira dalam hati. Hanya ada satu jalan sahaja. Tali pinggang keledarnya ditanggal kasar.

Melihat Haqiem yang mahu membuka pintu kereta, Nia mula diserang rasa gentar. Wajahnya kian menunduk saat langkah Haqiem tinggal 2 kaki sahaja daripada kedudukannya kini. Entah kenapa, peristiwa di tangga kembali menerjah fikirannya. Suara Haqiem perlahan bertanya. "Do I really have to do it?"

"Tak perlu nak main gertak macam ni. Kita bukan dalam novel melayu yang asyik main gertak, cinta kontrak bagai tu. Tapi, kita ni orang melayu. Ada adab sopan bila mengajak orang. Kalau tak ikhlas, baik jangan buat." Nia menarik pemegang pintu kereta berwarna merah hati itu perlahan. Bukan niatnya mahu berkasar. Dia sedar, dia juga di pihak yang salah. Terlalu mengikut hati yang mahu mengelak dari Haqiem sehingga terpamer pada riak wajah dan kelakuannya.

"Siapa kata I terpaksa?" Soalan Haqiem tergantung tanpa jawapan.

Tanpa sesiapa sedari, ada dua pasang mata yang asyik mengintai dari beranda tingkat atas rumah agam milik Puan Sri Azizah itu. Drama di luar pagar besar itu jelas bermain di hadapan mereka berdua. Si anak hanya menggeleng melihat emaknya yang masih belum lekang dengan senyuman di bibir. Suka benar nampaknya.

"Abang tu suka betul menyakat si Nia. Sampai Nia yang gila-gila sebegitu pun boleh terdiam dibuatnya. Emak pulak yang rasa seronok tengok gelagat mereka berdua."

"Fi yakin, lepas ni, lagi banyak adegan menarik yang akan muncul, mak. Kita tunggu dan lihat je." Senyuman di bibir Lutfi sinis. Tetapi, penuh dengan makna yang jelas difahami emaknya sendiri.

Klik gambar untuk kembali ke menu

Comments

Popular posts from this blog

Baiti Jannati bawa makna sebenar dalam nama

I'm officially graduated!

Bad Genius: filem wajib tonton