[e-Novel] Anak Angkat Mama Bab 4

HADI MENJENGUKKAN KEPALANYA. Bayang tubuh abangnya dicari seluruh pelusuk rumah. Keretanya ada, orangnya tiada. Padahal tadi, dialah orangnya yang kelam-kabut meminta Hadi segera pulang kerana mahu berbincang mengenai sesuatu. Nada suaranya tadi kedengaran serius. Mak Timah yang perasan perlakuan Hadi rajin bertanya.

"Kamu cari siapa, Hadi? Terjenguk-jenguk macam burung unta."

"Ada ke patut burung unta Mak Timah samakan dengan saya? Abang mana abang? Tadi abang yang suruh Hadi balik cepat ni. Sampai Nia pun terpaksa Hadi tinggalkan dengan Wanie. Nak cepat punya pasal." Sepenuh hati Hadi bercerita. Ditambah dengan pula dengan riak wajah yang seakan-akan sedih. Mak Timah hanya melayan perangai anak bongsu Puan Sri Azizah yang sememangnya kuat berdrama itu.

"Abang ada di belakang, dengan Lutfi. Mama suruh dia betulkan pasu bunga yang tumbang tu. Kalau suruh Hadi, entah bilalah pokok tu nak tegak balik?" Mak Timah terus berlalu. Hadi menggaru kepala yang tidak gatal. Sindiran Mak Timah langsung tidak mencalar hatinya. Dia tahu wanita itu hanya bergurau.

Pintu belakang rumah yang tertutup rapat dikuak perlahan. Dua orang lelaki yang lebih kurang sebaya dengannya sedang elok duduk di tepi rumah dengan peluh yang merenik lebat di dahi. Rasanya pasu yang tumbang satu sahaja. Tetapi, dua manusia ini berpeluh macam mengangkat batang balak di hutan.

"Tadi hujan ke? Lencun ni." Botol berisi air mineral sejuk yang baru dihulur Mak Timah disua kepada Haqiem dan Lutfi yang memandangnya tajam. Orang lain yang asalnya disuruh untuk buat kerja, orang lain yang end up buat kerja. Lepas tu buat-buat tanya. Aku cepuk jugak budak ni karang. Pandangan Haqiem kian tajam.

"Ala, rilekslah big brother. Kita adik-beradik kena saling tolong menolong." Hadi memautkan lengannya pada bahu Haqiem yang baru berdiri. Haqiem laju menepis. Tengah panas ni, dia main paut-paut pulak. Ada yang dinner makan siku kejap lagi.

Duduknya dilabuhkan di atas sofa antik mama dari Bali yang dibeli lima tahun lalu. Tujuan asalnya pulang ke rumah agam ini kembali terlintas di benak fikiran. Wajah adiknya direnung lama. Ah, lupakan dulu panas badan ni! Sekarang ini, biar dia meredakan panas di hati terlebih dahulu. Dia yakin adiknya bukan orang sebegitu. Tetapi, mengingatkan semula babak tengah hari tadi, dia jadi tidak keruan.

"Kau pergi mana tadi?" Suara Haqiem mendatar.

"Shopping barang kahwin. Abang nak tanya soalan yang sama berapa kali ni?" Hadi laju menjawab. Pandangan Haqiem yang tepat ke arahnya dibalas. Hairan sebenarnya dengan lagak Haqiem yang bagai ada yang tidak kena. Sudah kali kedua soalan yang sama diajukan kepadanya. Sekali semasa Haqiem menelefonnya semasa dia bersama Syazwani dan Nia di Bangsar tadi.

"Baik kau jawab betul-betul. Kau pergi beli barang kahwin atau kau pergi menggatal dengan perempuan lain?" Terbeliak mata Hadi mendengar soalan abangnya yang kedengaran janggal. Abang ni abang kandung aku ke abang kandung Wanie ni? Soalan pun bunyi macam isteri pertama yang tengah cemburu suaminya keluar tengah malam.

"Back up a second. Ini ada salah kefahaman ni." Pandangan Haqiem masih mencerlung. Hadi membetulkan duduknya. Kekeliruan mengenai dia, Nia dan Syazwani dirungkai dalam nafas yang panjang. Ayatnya diatur satu persatu agar abangnya memahami plot cerita yang sebenarnya. Kekalutan itu tidak seharusnya ada jika Haqiem memahami watak sebenar Nia dalam perjalanan cerita hidup mereka sekeluarga.

"Jadi, begitulah ceritanya. Abang ni paranoid sangat."

Ini bukan kisah mengenai betapa paranoidnya Haqiem apabila lelaki didampingi dua wanita pada satu masa yang sama. Ini bukan juga kisah Haqiem mahu mengongkong hidup Hadi atau betapa dia menyayangi Syazwani sebagai bakal adik iparnya. Tetapi, dia tidak mahu mana-mana wanita yang dekat dengannya merasa peritnya ditinggalkan lelaki yang sudah berubah hati.

Dia lelaki. Dia juga tahu bagaimana nikmatnya bila dikelilingi wanita. Dia juga boleh berbuat begitu. Dia punya rupa, harta dan pangkat seperti yang digilai wanita pisau cukur di luar sana. Namun, apabila teringatkan air mata mama yang jatuh demi seorang lelaki yang tidak setia lapan belas tahun dulu, dia tekad. Hatinya hanya buat seorang wanita sahaja hingga ke hujung nyawa. Dan dia masih mencari.

"Kau tahu kenapa abang jadi macam ni. Abang bukan nak paranoid ke apa ke." Haqiem bingkas. Langkahnya diatur ke arah tingkap. Hadi mengekor dengan anak mata. Wah, macam dalam drama pulak! Asal kecewa je, mulalah berpeluk tubuh di depan tingkap. Ingat ni lagu Joe Flizzow ke? Merenung ke luar jendela... Hadi mengutuk dalam hati.

"Abang, dahlah tu. Even mama pun dah maafkan papa."

"Never. No. Abang ingat lagi air mata mama yang jatuh untuk lelaki tu."

"Adik bukan nak sebelahi dia. Tapi, papa pun dah tak ada. Jangan sebab kita, tak aman arwah kat alam sana. Kita sebagai anak, kena doakan dia." Tubuh Haqiem yang masih membelakanginya dipandang lama. Bukan berniat mahu memberi syarahan. Hadi sedar, dia dalam rumah ini, dialah yang paling muda. Tetapi, bila emosi mula menguasai, rasional pun mula hilang entah ke mana.

"Walau bagaimana sekalipun, abang kena ingat. We are his living legacies and we cannot change that fact."


NIA MENUANGKAN lauk ikan masak tiga rasa kegemarannya yang dimasak Mak Timah ke atas pinggan besar berhati-hati. Langsung tidak dibazirkan sedikit pun di dalam kuali. Sejak pulang dengan Syazwani tadi dia sudah terhidu bau masakan itu. Laju dihantar adik angkatnya itu ke bilik tidur. Baru sahaja dia mahu mengangkatnya, Mak Timah muncul di pintu dapur. Mata sepet Mak Timah mengecil memandang Nia tersenyum sumbing kepadanya.

"Kan Mak Timah dah cakap banyak kali pada Nia. Kerja-kerja dapur, kerja-kerja rumah, biar Mak Timah buat. Duduk je kat depan tu sementara Mak Timah siapkan meja. Ini baru je Mak Timah tinggalkan dapur sekejap, dia mula gatal tangan."

"Ala, Mak Timah. Nia bukannya buat apa pun. Geram pulak tengok lauk tiga rasa ni. Tu yang Nia tolong tu. Bagi cepat sikit boleh makan. Lagipun, kalau Nia tak buat kerja, rasa macam mengada-ngada sangat. Nia bukannya VVIP guest pun dalam rumah ni. Menumpang je. Jadi, kenalah buat cara orang menumpang. Buat kerja apa yang patut."

Mak Timah langsung terdiam mendengar kata-kata Nia. Bukan sengaja dia berkeras melarang, tetapi itu arahan daripada Puan Sri Azizah sendiri. Mahu tak mahu, dia kena menurut. Majikannya itu memang sayang sangat pada anak angkatnya yang seorang ini. Seperti dia menyayangi dua anak lelakinya.

"Tak apa. Yang lain ni biar Mak Timah buat. Nia tolong panggil yang lain turun kat bilik. Rasanya semua dah siap solat Maghrib." Nia mengisyaratkan 'okey' dengan tiga jari. 
Kakinya laju memanjat anak tangga. Entah mana silapnya, nyaris dia terjatuh ke belakang. Namun tangannya sempat ditarik oleh seseorang dari atas. Tubuhnya tegak semula tanpa sedar. Pun begitu, genggamannya pada tangan yang membantu masih lagi kuat dalam mata yang terpejam.

"Are you okay?"

Mendengar suara yang membantunya adalah lelaki, laju Nia menarik tangan. Kepalanya masih tidak diangkat. Tiba-tiba terasa malu pula. Hadi ke? Tetapi, suaranya berbeza. Slang Inggerisnya kedengaran pekat sedikit.

"Kak Nia."

Syazwani menjengulkan kepalanya di celah bukaan pintu. Dilihat kakak angkat dan bakal abang iparnya hanya berdiri pegun di tangga. Lelaki itu kemudiannya tersenyum memandang Syazwani yang jelas hairan dengan kedudukannya kini. Dia terus turun dan keluar dari rumah. Hanya deruman Nissan Murano yang sedang meninggalkan halaman rumah sahaja yang kedengaran.

"Kak Nia."

Mata yang tadinya memandang gerak langkah lelaki yang telah membantunya kini dialih kepada Syazwani yang masih lagi berdiri di sebalik pintu. Malu pula rasanya bila Syazwani menangkapnya merenung lelaki yang tidak dikenalinya.

"Kak Nia dengan Abang Haqiem buat apa tadi kat tangga?" Syazwani bertanya bersahaja. Nia hanya menggeleng. Eh?

"Abang Haqiem? Nia kenal lelaki tu?" Kenapa aku tak kenal? Hati Nia berbisik kecil.

"Mestilah kenal. Itulah abang kepada Abang Hadi. Takkanlah orang sembarangan pulak." Soalan Nia terasa asing. Kakak angkatnya itu nampak gayanya masih belum mengenali Haqiem walaupun dia yang terlebih dahulu rapat dengan keluarga tunangnya itu.

Nia menggaru kepala yang berbalut tudung. Betul jugak. Ini bukan hotel yang boleh senang-senang dimasuki sesiapa. Semestinya berkait rapat dengan keluarga Puan Sri Azizah. Mahu sahaja Nia mengetuk kepalanya yang tidak berfikir sebelum berkata-kata. Kan sudah malu sendiri.

Nia laju mengalihkan perhatian Syazwani dengan mengajak gadis itu makan malam. Pintu bilik Puan Sri Azizah diketuk kemudiannya. Lembut suara tua itu meminta mereka turun dahulu kerana dia hendak menunggu Hadi yang masih belum keluar dari bilik. Nia dan Syazwani hanya menurut.

"Please be careful next time. I'm not always there for you." Perlahan bisik Haqiem kepadanya tadi jelas terngiang-ngiang di telinga. Nasi di dalam pinggan dikais-kais dengan hujung jari. Perbualan antara Puan Sri Azizah dan Syazwani yang tadinya rancak jadi terhenti apa bila melihat Hadi yang ralit memandang Nia yang tidak bergerak.

"Kenapa, Nia? Ada yang tak kena ke dengan nasi tu? Bukan ni lauk favorite kau ke? Kenapa tak makan? Dok kais-kais je dari tadi." Hadi meringankan mulut bertanya. Pandangan mereka bertiga kini bertumpu kepada Nia yang masih tunduk.

"Nia!"

Nia mengangkat wajahnya. Pandangan Puan Sri Azizah yang duduk bertentangan, tepat ke arahnya. Hadi dan Syazwani juga. Nia hanya diam. Tahu yang dia terlanjur termenung di meja makan.

Hadi mula dipamit rasa bimbang. Mungkinkah Nia masih diganggu peristiwa yang terjadi di mall tengah hari tadi? Kalaulah perkara itu terlepas ke pengetahuan mama, pasti panjang leteran wanita itu. Sudahlah tadi, abangnya sendiri tersalah faham. Mujur ianya sudah diselesaikan. Kepada Haqiem, diminta agar kejadian ragut tadi dirahsiakan dari Puan Sri Azizah.

"Kak Nia sejak jumpa Abang Haqiem tadi asyik termenung je." Syazwani tiba-tiba bersuara. Nia kembali menunduk. Bukan Syazwani tidak perasan. Sementara menunggu Puan Sri Azizah dan Hadi turun pun Nia sempat termenung. Tetapi dikejutkan oleh suara Hadi yang baru muncul dari dapur. Syazwani sendiri jadi ralit memerhati Nia hingga tak sedar Hadi sudah turun ke dapur.

"Nia dah jumpa Haqiem? Tak sempat Mama nak properly introduce kat Nia." Puan Sri Azizah mengeluh kecil. Nia mengangguk kecil. Hadi hanya tersenyum sumbing. Anak mama tu dah jumpa anak angkat mama ni dua kali hari ni, getus hati kecil Hadi. Dipandang Nia yang masih tunduk. Tak tahulah Nia ni cam Abang atau tak pagi tadi, sambung bisik hati Hadi.

Klik gambar untuk kembali ke menu

Comments

Popular posts from this blog

Baiti Jannati bawa makna sebenar dalam nama

I'm officially graduated!

Bad Genius: filem wajib tonton